Kejohanan Waja Diri PSSCM (KWD) ialah pertandingan berbentuk persembahan Silat Cekak yang mula dipertandingkan pada tahun 2007 dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak sebagai tuan rumah pertama. Penganjuran kali terakhir diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak. KWD Tunas PSSCM Kali Pertama mula diperkenalkan sebagai satu platform yang mengutamakan kepada kanak-kanak dan remaja.
Kejohanan Waja Diri Tunas dan Remaja (KWDTR) PSSCM Kali Pertama ialah salah satu program baharu yang dianjurkan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia yang dikhususkan kepada Kanak-kanak dan Remaja. KWDTR PSSCM Kali Pertama ini diambil diatas minat dan sambutan yang sangat menggalakkan di Kejohahan Waja Diri ke-10 di UniSZA. PSSCM Cawangan Selangor telah diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah dan mengendalikan program kejohanan waja diri ini khususnya bagi kategori Seni Silat Cekak Malaysia di peringkat sekolah-sekolah dan kelas- kelas awam seluruh negara.
KWDTR PSSCM Kali Pertama ini juga merupakan julung kalinya dipertengahkan Khas buat Kanak-kanak dan Remaja iaitu Kategori Tunas & Kategori Remaja. KWDTR ini mula diperkenalkan pada kali ini rentetan tertubuhnya kelas-kelas latihan PSSCM dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun dan remaja 13 hingga 17 tahun. Sehubungan itu, bagi memberi pendedahan kejohanan/pertandingan kepada ahli-ahli peringkat sekolah ini, kategori baharu diwujudkan.
Kejohanan Wajadiri Tunas & Remaja (KWDTR) PSSCM Peringkat Kebangsaan merupakan platform pertandingan persembahan Seni Silat Cekak Malaysia yang menghimpunkan penyertaan ahli-ahli Tunas dan Remaja dari seluruh negara. Kejohanan ini diwujudkan sebagai medium untuk mencungkil bakat, memupuk semangat kesukanan, memperkukuh disiplin serta membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda melalui penghayatan ilmu dan amalan Seni Silat Cekak Malaysia. KWDTR diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada kejayaan Kejohanan Wajadiri (KWD) yang telah menjadi acara utama PSSCM sejak tahun 2007, dengan memberi fokus khusus kepada pembangunan golongan kanak-kanak dan remaja sebagai pelapis masa depan persatuan dan negara.
Penganjuran KWDTR 2026 bukan sekadar sebuah pertandingan, malah berfungsi sebagai wadah pendidikan yang menekankan pembentukan karakter, kepimpinan, kerjasama berpasukan dan kecemerlangan diri. Melalui pelbagai kategori pertandingan yang berasaskan sukatan pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia, peserta berpeluang mempamerkan kemahiran, kreativiti dan penguasaan ilmu persilatan dalam suasana yang sihat dan kompetitif. Pada masa yang sama, kejohanan ini menggalakkan interaksi antara peserta daripada pelbagai negeri, sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dan ukhwah dalam kalangan ahli PSSCM.
Selaras dengan aspirasi Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi, pembentukan adab, komunikasi, tanggungjawab, kemahiran berfikir dan perkembangan diri, KWDTR 2026 berperanan sebagai platform pembelajaran autentik yang menyokong pembangunan murid secara holistik. Program ini membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek fizikal dan kemahiran, malah memiliki sahsiah unggul, daya tahan, semangat patriotisme dan identiti bangsa yang kukuh.