Tunas & Remaja PSSCM merupakan program pembangunan generasi muda di bawah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) yang memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri melalui pembelajaran Seni Silat Cekak Malaysia. Program ini menyediakan ruang kepada kanak-kanak dan remaja untuk mempelajari ilmu bela diri secara sistematik dalam suasana yang selamat, beretika dan berteraskan nilai-nilai murni.
Melalui latihan yang berterusan, peserta bukan sahaja menguasai kemahiran asas mempertahankan diri, malah dibimbing untuk mengamalkan nilai hormat, tanggungjawab, kepimpinan, kerjasama dan keyakinan diri. Pendekatan ini menjadikan Tunas & Remaja PSSCM sebagai medium pendidikan yang menyokong pembangunan insan secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.
Hari ini, program Tunas & Remaja PSSCM berkembang di seluruh Malaysia melalui kelas-kelas latihan di sekolah dan komuniti, serta diperkukuhkan melalui pelbagai aktiviti pembangunan seperti perkhemahan, kursus, demonstrasi dan Kejohanan Wajadiri Tunas & Remaja (KWDTR) yang menjadi platform rasmi untuk mengasah bakat, kreativiti dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi pewaris PSSCM.