Karnival Literasi Bela Diri PSSCM–IPGM merupakan sebuah inisiatif strategik hasil jalinan sinergi antara Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dalam memperkasakan pembangunan insan melalui pendidikan, warisan budaya dan ilmu bela diri. Program ini menjadi platform nasional yang menggabungkan elemen akademik, kokurikulum, kepimpinan, literasi budaya serta pembentukan sahsiah dalam satu ekosistem pembelajaran yang holistik. Konsep penganjuran ini lahir daripada hasrat untuk menjadikan ilmu bela diri sebagai medium pendidikan yang mampu membentuk generasi berilmu, beradab, berdaya tahan dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Sebagai rakan strategik Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pembangunan modal insan, IPGM membawa kepakaran dalam bidang pendidikan, pedagogi dan latihan guru, manakala PSSCM menyumbang pengalaman lebih lima dekad dalam pembangunan insan melalui Seni Silat Cekak Malaysia yang berteraskan disiplin, kepimpinan, adab dan nilai murni. Kolaborasi ini memperlihatkan bagaimana institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan dapat bergerak seiring bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kekuatan karakter dan identiti kebangsaan.
Selaras dengan aspirasi pendidikan negara dan pembangunan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi penekanan kepada pembentukan karakter, kemahiran insaniah, komunikasi, tanggungjawab serta pembelajaran bermakna, Karnival Literasi Bela Diri PSSCM–IPGM membuktikan bahawa ilmu bela diri mampu menjadi wahana pendidikan yang relevan dalam membentuk Insan Sejahtera yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.
Kemuncak utama karnival ini ialah Kejohanan Wajadiri Tunas & Remaja PSSCM, sebuah kejohanan kebangsaan yang menghimpunkan peserta kategori Tunas dan Remaja dari seluruh negara. Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan persembahan Seni Silat Cekak Malaysia, malah menjadi platform pembangunan bakat, keyakinan diri, kreativiti, semangat berpasukan dan kecemerlangan dalam kalangan generasi muda. Penganjurannya meneruskan legasi Kejohanan Wajadiri (KWD) yang telah menjadi acara berprestij PSSCM sejak tahun 2007, di samping membuka ruang kepada penyertaan lebih meluas dalam kalangan ahli sekolah melalui kategori Tunas dan Remaja.
Selain kejohanan, karnival ini turut menghimpunkan pelbagai pengisian berteraskan literasi bela diri seperti forum ilmiah, pertandingan multimedia, pameran, demonstrasi serta aktiviti pembangunan komuniti. Kesemua komponen ini dirangka bagi memperluaskan kefahaman masyarakat bahawa ilmu bela diri bukan sekadar kemahiran mempertahankan diri, bahkan merupakan satu pendekatan pendidikan yang membentuk disiplin, kepimpinan, nilai murni, budaya ilmu dan semangat patriotisme.
Melalui jalinan sinergi yang berterusan antara IPGM dan PSSCM, Karnival Literasi Bela Diri PSSCM–IPGM dihasratkan menjadi program tahunan berimpak tinggi yang memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, komuniti dan organisasi masyarakat dalam usaha melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, berjati diri, berintegriti serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”
“Sebaik baik manusia ialah orang yang boleh menyesuaikan dirinya dengan orang orang yang rosak akhlaknya sehingga dapat memperbaharui akhlak orang itu hingga menjadi baik”
- YM Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad -
“Punca kekalahan seseorang adalah disebabkan tidak sabar dan punca kemenangan seseorang adalah disebabkan kesabaran.”
- YM Ustaz Haji Ishak Bin Itam -
“Belajarlah Ilmu yang berkat, bukan Ilmu yang hebat.”
- YM Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah -